Tuesday, April 7, 2009

Warkah buat Dato' Seri Najib

Dato' Seri Najib,

Tahniah & Selamat berkhidmat untuk rakyat dan negara bertuah ini, jujurnya saya mungkin di kalangan yang muak dengan lakaran kepimpinan Pak Lah dan kemaharajalelaan Khairy Jamaluddin dalam memerah hasil negara tercinta ini.Semalam saya melihat Dato' Seri di TV3 dengan baju kemeja T tidak bertali leher , cukup selesa tidak berprotokol ,saya kira anda sedang memberi isyarat yang jelas kepada rakyat kecil seperti saya bahawa anda serius untuk
membawa gagasan anda Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Apa jua dosa yang kerajaan dulu sudah lakukan , rakyat sudah boleh berasa sedikit lega,
anda sudah diberi amanah ini untuk mencorak Malaysia selepas ini .
Saya kira rakyat sudah mendapat peluang untuk melihat Malaysia yang baru selepas ini ,
sebagai anak Tun Razak , saya kira anda mempunyai tugas yang berat
untuk meneruskan legasi kejayaan Tun Razak itu , namun saya dengan lapang dada merasakan
anda mampu menerajui Malaysia menongkah keadaan ekonomi tidak menentu ini , seterusnya
menghadapi pelbagai cabaran dalam mentadbir Malaysia .

Langkah seterusnya tentunya pembentukan pasukan yang akan membantu anda , jika boleh
pilihlah pemimpin yang tiada kontroversi , penuh integriti & kompeten , tiada perlunya melantik
seseorang yang membenarkan rakyat memberi persepsi yang buruk kepada kerajaan .

Perlantikan seharusnya berasaskan latarbelakang seseorang Menteri ke atas sesebuah kementerian ,
zaman Samy Velu ( saya tidak merasakan beliau ada sebarang kebijakan untuk posisi ini) menjaga
Kementerian Kerja Raya sudah berakhir. Sejarah melantik Menteri seperti ini seharusnya tidak wujud lagi.

Menteri yang sudah mempunyai peluang untuk berkhidmat sebelum ini , tetapi tidak memberi sebarang
kesan yang membina seharusnya dipinggirkan & diberi ruang untuk muka baru jikapun tiada ahli politik
kerajaan yang mampu menerajui kementerian (kritikal) lantik sahaja ahli masyarakat yang sememangnya
diperakui ketokohannya di dalam lapangan . Kementerian Pengajian Tinggi contohnya seharusnya meletakkan
seseorang yang sudah sampai ke kemuncak Pengajian tinggi itu sendiri seorang Professor yang pernah
menjadi NC di mana mana Universiti mungkin - contohnya.

Tun Mahathir sememangnya sudah dianggap lagenda di peringkat dunia sekalipun , melibatkan lagenda
besar ini di dalam kepimpinan anda sememangnya suatu tindakan yang terpuji , tidak angkuh dengan
kuasa yang anda ada , tahniah.

Pada pendapat saya untuk membentuk Satu Malaysia , titik pentingnya adalah perpaduan yang
mapan dikalangan rakyat untuk mencapai ini percayalah Malaysia masih belum terlambat untuk
menggunakan Bahasa Malaysia sebagai tonggak penting untuk membentuk Satu Malaysia .

Sekian , selamat maju jaya dalam memacu Malaysia ke tahap lebih tinggi .

LD

No comments: